Saturday, December 06, 2008

Doktor Sakit Mental

Doktor Sakit Mental
Posted by Abu Saif in Mukmin Profesional on 12 2nd, 2008 | 14 responses



“These medical graduates, totalling about 60 cases a year, are unable to cope with their housemanship as they may have been pressured by their parents to take up medicine” - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican

Saya terkasima.

Menggaru kepala.

Laporan akhbar The Star bertarikh Sabtu, 30 November 2008, melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lima doktor mengalami gangguan mental yang signifikan pada setiap bulan.

Dalam banyak-banyak faktor yang boleh dikaji selidik, saya berasa agak canggung membaca analisa pihak Kementerian Kesihatan bahawa punca masalah mental para doktor ini, khususnya doktor junior yang sedang menempuh fasa internship (housemanship), adalah kerana lima atau enam tahun yang lalu, mereka mangsa paksaan. Dipaksa ibu bapa mengambil bidang perubatan, seterusnya menjadi doktor.

Seandainya benar paksaan ibu bapa itu yang menjadi alasannya, maka kesan paksaan itu adalah TEKANAN. Justeru tekananlah yang seharusnya diberi perhatian. Seandainya tekanan yang menjadi punca gangguan mental, maka kita harus bersifat terbuka untuk menerima kenyataan, bahawa tekanan muncul bukan hanya daripada satu sumber.

Jika lima orang doktor mengalami gangguan mental sebulan, tidakkah ini harus diambil sebagai satu amaran muhasabah yang serius ke atas persekitaran dan SISTEM yang membentuknya?

SOKONGAN EQ DAN SQ

Saya tidak pernah jemu untuk menegaskan tentang peri pentingnya nilai agama diberi penekanan kepada kehidupan pelajar perubatan ini. Di dalam bahasa dunia (bagi mendepani pemikiran skeptik terhadap Akhirat), agama sekurang-kurangnya mempunya dua fungsi besar yang mesti diberi perhatian.

Pertama, agama menjadi rujukan moral pelajar dan bakal doktor ini. Seorang doktor diberi amanah untuk menyentuh tubuh manusia lain termasuk anggota-anggota sulit mereka, berurusan dengan sihat sakit manusia yang membabitkan soal hidup dan mati. Kesungguhan seorang doktor untuk melakukan resusitasi ke atas pesakit, sangat berkait rapat dengan pandangan dan nilai yang dipegangnya sebagai rujukan moral dalam kehidupan. Semua itu diserahkan kepada para doktor kerana profesionalisma mereka sebagai pengamal perubatan. Namun apakah rujukan moral kepada profesionalisma itu?

Etika perubatan menjadi satu subjek besar yang dipelajari oleh pelajar perubatan dan seterusnya menjadi rujukan seharian mereka semasa bertugas kelak. Dari manakah munculnya etika itu? Di sinilah peraturan-peraturan agama yang menjadi asas pertimbangan fikiran dan tingkah laku manusia diperlukan. Bukan sekadar untuk memahami subjek, tetapi menjadi kepercayaan yang dipegang oleh pengamal perubatan dalam mengurus diri mereka.

Keduanya, agama berperanan sebagai sistem sokongan kepada kekuatan dan kematangan emosi serta spiritual pelajar perubatan. Juga kepada para doktor. Sudah cukup banyak kajian dibuat, untuk menegaskan betapa komitmen yang sihat kepada agama, sangat ketara dalam mencegah seseorang daripada terjerumus ke lembah krisis emosi. Tidak ada kekuatan sekuat dorongan spiritual untuk seseorang cekal mendepani apa sahaja cabaran hidup. Agama meluaskan pandangan hidup seorang manusia agar tidak disempitkan oleh cabaran-cabaran kehidupan yang datang dari semasa ke semasa.

Di dalam bahasa Islam, agama mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia, kepada keluasan Dunia dan Akhirat.

Agama memberikan asas yang kukuh untuk seseorang itu kekal optimis.

Agama memberikan asas yang teguh untuk seseorang itu konsisten melakukan kebaikan biar pun tidak beroleh insentif yang wajar menurut pertimbangan semasa.

Agama bukan sekadar ritual baca Yasin Khamis Malam Jumaat atau Tahlil Ahad Malam Isnin, yang ada kalanya dijadikan alasan bahawa ‘agama sudah diterima pakai’ dalam aktiviti pelajar. Malah agama juga bukan subjek isu politik yang memabukkan sesetengah pelajar yang hilang pertimbangan. Agama itu panduan manusia untuk hidup sebagai manusia. Agama mengajar tentang Rule of the Game, dan gangguan mental adalah salah satu simptom besar bahawa ada kecacatan yang berlaku kepada segi tiga pemain, permainan dan peraturan permainan ini.

RASIONAL TUGASAN

Bagaimana pula dengan rutin kerja mereka?

Artikel “A Positive Approach to Doctors-in-Training” tulisan PAULINE W. CHEN, M.D. (www.nytimes.com November 6, 2008) banyak memberikan saranan tentang usaha penambah baikan yang boleh dilakukan kepada suasana kerja dan kehidupan doktor pelatih. Saya menanti-nanti ulasan pihak Kementerian Kesihatan terhadap hal ini.

Malah, kita sedia maklum, pekerja di pelbagai sektor sudah menjadi kebiasaan mereka untuk hadir ke kursus-kursus motivasi berkaitan dengan sikap, pemikiran dan jati diri. Program-program seperti ini sangat dikenal pasti berfungsi untuk membantu peserta melakukan muhasabah, memperbaiki persepsi mereka terhadap kerjaya dan kehidupan, menyuntik semangat kerja berpasukan yang penting untuk kelangsungan kerjaya masing-masing dan seribu satu manfaat lain. Namun, pemerhatian saya jarang menemukan pembabitan para doktor di dalam program seperti ini kecuali atas inisiatif individu, jabatan tertentu secara kecil-kecilan, dengan tidak mewakili pengiktirafan sistem secara keseluruhan.

Saya juga sangat berminat untuk mengetahui hasil kajian terhadap aspek kehidupan sosial para doktor. Bagaimana mereka berkeluarga, bagaimana mereka mengendalikan soal suami isteri dan anak-anak, kadar perkahwinan, kadar tidak berkahwin, kadar penceraian, bagaimana doktor wanita mengendalikan kehamilan, kelahiran anak dan hal-hal domestik yang menjadi satu aspek penting dalam mengekalkan kehidupan yang seimbang lagi… rasional!

Bagaimana pula dengan insentif para doktor? Penggajian mereka, bayaran oncall, kelayakan pinjaman kewangan… semua ini juga perlu diambil kira.

TIDAK PERLU SAMPAI MENJADI DOKTOR

Saya bukan pelajar perubatan.

Saya juga bukan doktor.

Tetapi saya hidup bersama pelajar perubatan semenjak sedekad yang lalu, bergaul dengan mereka, berprogram dan berkursus dengan mereka, malah beristerikan seorang doktor. Segala cabaran yang dihadapi oleh seorang pelajar perubatan, dan seterusnya pengamal perubatan, sangat ketara dan bukan lagi menjadi suatu rahsia. Tidak perlu sampai menjadi doktor untuk mengetahui apa cabaran yang para doktor ini hadapi. ‘Ahli Kelab Suami Doktor’ pun boleh mengalami tempiasnya!

Ia adalah public secret.

Namun dalam masa yang sama, saya juga berpandangan bahawa pertambahan kes gangguan mental ini (jika ia suatu pertambahan) turut menerima kesan daripada lemahnya jati diri generasi muda hari ini yang tidak ampuh dengan kehidupan. Kelasakan dan daya survival hidup semakin terhakis oleh pelbagai faktor, mungkin antaranya disebabkan oleh kehidupan yang semakin selesa oleh masyarakat kita.

Akan tetapi, faktor itu adalah faktor manusia. Usaha untuk mengubahnya memerlukan kepada banyak pihak untuk duduk semeja, melakukan evaluasi terhadap pelbagai sudut kehidupan, terutamanya sistem pendidikan.

Walau bagaimana pun, alasan bahawa lima kes gangguan mental sebulan ini datang dari kesan paksaan ibu bapa ke atas mereka yang hakikatnya tidak berminat dengan bidang perubatan, saya agak sulit untuk menerimanya. Kecualilah jika saya percaya bahawa gangguan mental yang turut membabitkan penjawat awam dan swasta di pelbagai sektor hari ini, muka masam di kaunter, tengking menengking di talian bantuan dan segala krisis yang menjadi ‘budaya’ di dalam sektor perkhidmatan kita hari ini, adalah akibat paksaan ibu bapa mereka dulu yang mendesak anak-anak bersekolah tanpa minat dan rela hati.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home