<<<<<<<<<<_ MeNCaRi RedH@ ILaHi _>>>>>>>>>>
====================MENAMBAH IMAN -- MENJANA MINDA -- MENTARBIYYAH PERIBADI================== ==== ====== "Islah Nafsak! Wad'u Ghoirok" - Perbaikilah diri, Serulah Org Lain
Thursday, October 22, 2009
Sunday, January 04, 2009
Aku Adalah Anak Palestina
Aku Adalah Anak Palestina
Assalamu’alaikum,
Namaku Fathi, dan aku adalah anak Palestina. Aku berumur 20 tahun. Sepanjang itu jugalah aku membesar di tanah berdarah ini, dan menjadi saksi kepada segala apa yang berlaku. Peperangan, pembunuhan, kematian, pengeboman, dan pelbagai lagi perkara seakan sudah menjadi panorama biasa untukku. Kamu tahu, hatta dentuman bom dan muntahan peluru seakan-akan menjadi dodoian tidur untukku. Tetapi jangan kata aku bahagia, hakikatnya hatiku sering tercalar dengannya.
Aku membesar tanpa keluarga. Ayah dan ibuku telah terkorban apabila Israel merampas rumah kami. Masih jelas pada tubir mataku, bagaimana ayahku ditembak dengan kejam, dan ibuku dirogol tanpa belas kasihan, bahkan, mereka dengan buas telah mengoyakkan perut ibuku yang ketika itu sedang mengandung, mengeluarkan adikku yang ada di dalam rahim, lalu menembak adikku yang tak berdosa itu berkali-kali. Mujur sahaja pejuang Hamas tiba ketika itu, jika tidak, pasti aku tidak akan ada di sini, bercerita kepada kamu.
Aku masih ingat lagi yang ketika itu aku berumur 6 tahun. Pejuang Hamas yang menyelamatkan aku bernama Yahya. Sesuai dengan namanya, ALLAH telah mengizinkannya memberikan kehidupan baru kepadaku. Dia telah menjagaku, dan membesarkanku serta memberikan pendidikan kepadaku. Aku memanggilnya ‘bapa’. Bagi aku yang melihat sendiri bagaimana Israel menamatkan riwayat seluruh ahli keluargaku, kasih sayang bapa membuatkan aku amat mengasihinya. Dia seakan-akan memberikanku cahaya.
Namun bahagia tidak panjang. Kehangatan kasih sayang bapa terhenti apabila Israel melanggar gencatan senjata yang entah buat kali ke berapa. Bapa telah mati dalam satu pertempuran apabila Israel cuba menceroboh. Ketika itu aku sudah sedikit besar, umurku sudah 20 tahun. Memandangkan pada waktu itu juga madrasah tempat aku menuntut ilmu telah dirobohkan oleh Israel, maka aku mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama pasukan Izzuddin Al-Qassam, yang merupakan sayap kanan Hamas.
Perjuangan semakin sukar, kerana Israel telah berjaya membuatkan seluruh negara ISLAM yang lain berdiam diri dengan keadaan kami. Belasan tahun berlalu, peperangan terus berlaku, dan darah terus tertumpah. Nyawa saban hari melayang. Suasana sudah ada perubahan. Dari teruk menjadi semakin teruk.
Hari ini, sekali lagi Israel laknatullah telah melanggar perjanjian gencatan senjata. Malah, mereka telah berjanji untuk menyapu bersih segala penentang dalam serangan kali ini. Gaza telah menjadi tumpuan serangan.
Israel tidak lagi menghiraukan pandangan dunia. Mereka sebenarnya langsung tidak takut dengan sebarang ancaman atau teguran yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Hal ini kerana, mereka tahu bahawa negara-negara lain tidak mampu berbuat apa-apa melainkan bersuara sahaja. Amerika telah menjadi boneka Israel, dengan mempertahankannya. Malah Amerika sendiri telah menghantar bantuan ketenteraan untuk Israel.
Serangan kali ini adalah serangan yang terdasyat. Israel telah menghantar 200 jet pejuang ke ruang udara Gaza, dan melepaskan bom serta torpedo secara rambang ke arah bandar. Angka kematian mencecah 3000 orang. Yang terkorban dalam serangan buas ini bukan sahaja para pejuang, malah termasuk sekali anak-anak kecil, perempuan dan orang-orang tua yang tak berdaya. Bangunan-bangunan banyak yang hancur dan roboh.
Gaza telah menjadi sungai darah. Suasana yang memang sedih, menjadi tambah menyayat hati. Mayat bergelimpangan di sana-sini. Mayat-mayat hancur juga banyak yang bersepah di atas jalan. Ada juga yang tertepek pada dinding-dinding bangunan. Kemusnahan kali ini memang di luar akal. Inilah yang terdasyat pernah terjadi.
Dalam kemusnahan dasyat disebabkan tangan Israel laknatullah ini, kami mendapat berita bahawa ada kerajaan dunia menegur tindakan zalim Israel. Namun, teguran itu membuatkan telingaku tambah berasap. Kamu tahu apa tegurannya?
“Harap Israel boleh cuba mengelakkan serangan mereka dari rakyat biasa.”
Pada aku yang berada di tengah-tengah Gaza ini, itu adalah teguran terbodoh. Mana mungkin hendak mengelak dari rakyat biasa? Adakah mereka mempunyai peluru berpandu yang boleh mengesan sama ada manusia itu askar atau tidak? Tahukah mereka bahawa Gaza ini penuh dengan rakyat yang tak berdosa? Malah torpedo dan bom yang dilepaskan oleh Israel mempunyai lilitan letupan yang besar. Mustahil tidak mencederakan rakyat biasa. Lihatlah apa yang terjadi di sini, kalau Israel boleh mengelak rakyat biasa, pasti tidak akan ada mayat-mayat anak kecil, perempuan lemah dan orang tua di sana-sini.
Kini, jet pejuang Israel telah mengosongkan ruang udara Palestin. Adakah mereka hendak berhenti? Tidak. Mengikut maklumat yang telah kami terima, mereka sudah bersedia di luar Gaza dengan 100 buah kereta kebal. Mereka hendak melunaskan kerja-kerja yang tidak mampu dilakukan oleh jet pejuang.
Aku di balik dinding ini, bersama-sama beberapa orang sahabatku, sedang menanti kehadiran mereka dengan hanya berbekalkan AK-47, senjata yang boleh dikatakan kuno jika hendak dibandingkan dengan senjata Israel. Hamas telah menetapkan untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Maka beberapa kumpulan telah diarahkan untuk mensabotaj kereta kebal-kereta kebal yang memasuki Gaza. Kalau boleh, kami diarahkan untuk merampas kereta kebal.
Sebahagian anak-anak kecil sudah mengutip batu-batu. Aku terasa seperti hendak menangis. Kasihan. Teringat ketika aku berusia 6 tahun dahulu. Saat ayah dan ibuku mati dalam keadaan yang azab. Mereka juga sepertiku. Cuma bezanya, mereka mungkin tidak sempat membesar. Ini mungkin peperangan terakhir bagi kami. Dengan bilangan kami yang tinggal hanya sekitar 100 orang, agak mustahil untuk menang.
Aku bukan tidak yakin atas bantuan ALLAH. ALLAH ada berfirman, “Berapa banyak sudah pasukan yang kecil menewaskan pasukan yang besar dengan izin ALLAH.”
Tetapi aku rasa, apa yang berlaku pada saat ini adalah teguran ALLAH kepada ummat ISLAM seluruhnya. Yang aku tahu, ummat ISLAM pada hari ini sering bertelagah. Malah ramai dari kalangan mereka yang tidak ambil kisah dengan saudara mereka. Mereka hidup dalam suasana ananiah yang menebal. Hati mereka telah menjadi keras seperti batu untuk merasakan penderitaan saduara-saudara mereka. Kalau di sini, mudah untuk dilihat bagaimana Fatah mengkhianati Hamas dalam kesatuan mereka untuk menjaga Palestin. Tidak sangka bahawa mereka itu pengecut yang tidak berguna. Menikam kami dari belakang, bahkan tidak menghiraukan langsung keadaan rakyat. Yang mereka tahu hanyalah kuasa. Mereka itu adalah boneka Israel.
Aku juga mendengar bahawa,negara-negara ISLAM di luar sana sudah tidak mengamalkan ISLA di negara masing-masing. Pemimpin-pemimpin mereka leka dengan kesenangan yang ada. Semuanya tunduk dan sujud menyembah Amerika dan segala kuncu-kuncunya.
Aku tahu, ini bukan salah mereka. Mereka sebenarnya telah disuntik dengan jarum beracun pada akhir era Khilafah Uthmaniyyah lagi. Ummat ISLAM melemah, melemah, dan terus melemah sehinggalah jika ada saudara mereka yang dibunuh, dicincang, diinjak, terkorban, hati mereka langsung tidak merasa. Namun semangat juang para muslimin masih meninggi. Apabila Israel memasuki Palestin pada tahun 1948, masih ada sebahagian muslimin yang merentasi sempadan dan membantu orang-orang di sini.
Malah, aku masih ingat lagi orang-orang tua bercerita mengenai perang antara Negara-negara Arab dan Israel. Orang-orang tua berkata, andai ketika itu tiada perjanjian damai, maka penderitaan hari ini tidak akan terjadi. Namun apa yang berlaku ketika itu adalah, para mujahidin yang ikhlas telah ditangkap oleh negara-negara arab sendiri, dan mereka telah menandatangani satu perjanjian dengan Israel. Semenjak hari itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Israel di sini, hanya akan ditegur dengan suara sahaja oleh negara-negara arab di sekeliling Palestin, dan negara-negara ISLAM di seluruh dunia.
Apa yang berlaku kepada kami di sini tidak lebih dari teguran ALLAH kepada ummat ISLAM. ALLAH hendak menunjukkan betapa lemahnya ummat yang pada satu masa dahulu pernah menguasai 2/3 dunia. ALLAH hendak menunjukkan, betapa ummat ini telah meninggalkan ajaranNya dan melupakan deenNya.
Aku pernah mendengar peristiwa tsunami yang melanggar tenggara asia pada lima tahun lepas. Sehingga ada yang menyatakan bahawa itu kiamat kecil. Ketika itu, ramai yang menyatakan bahawa ALLAH telah marah, lalu menegur manusia dengan bala bencana. Aku hanya mampu tersengih. Kamu tahu, di sini kiamat kecil berlaku hari-hari. Tempat ini saban hari bergegar dengan dentuman bom dan bingit dengan muntahan peluru. Tetapi tiada manusia pun yang menyatakan bahawa apa yang terjadi pada kami ini adalah teguran ALLAH kepada mereka. Mungkin manusia tidak tahu yang ALLAH ada berfirman, “Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia. ALLAH mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”
Oleh kerana ketidak pedulian orang-orang ISLAM di luar sana, kami pasukan HAMAS telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan bumi suci ini. Kami menentang segala keganasan yang berlaku di sini dengan tulang empat kerat kami, dengan segala kudrat kami. Tetapi yang aku amat terasa hati adalah apabila, tindakan kami untuk mempertahankan tanah kami dikatakan sebagai satu tindakan keganasan.
Aku hairan dan pelik dengan orang-orang ISLAM di luar sana. Kamu tidak punya akalkah? Kenapa kami digelar sebagai pengganas? Sedangkan rumah-rumah kami dirobohkan, sedangkan isteri-isteri kami dirogol dan dibunuh tanpa belas kasihan, sedangkan anak-anak kami ditembak, sedangkan ayah dan ibu kami terkorban, semuanya dek kerana penjajahan Israel atas tanah kami.
Aku hairan, setahu aku, semua negara ISLAM dahulu menentang penjajahan di bumi mereka. Mereka menyah penjajah dan membenci penjajah. Tetapi apabila tanah kami dijajah, mereka menyelar kami sebagai pengganas, mereka menyatakan kami tidak reti bertolak ansur. Aku hairan. Kenapa kamu bersikap begitu? Tahukah kamu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda, “Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka.”
Kemudian kamu menyatakan bahawa jihad itu adalah jalan keganasan. Kamu pesongkan jihad kepada jihad-jihad yang kamu ada-adakan. Jihad masyarakat la, jihad menentang pencemaran la, jihad menentang kemiskinan la dan pelbagai lagi jihad yang kamu reka, yang tidak utama, berbanding jihad kami yang sedang mempertahankan deen ISLAM ini. Sedangkan ALLAH telah mengizinkan kami untuk memerangi mereka yang menzalimi kami,“Telah diizinkan untuk kamu memerangi mereka yang menzalimi kamu.....”
Kamu tahu, hal Palestin, bukanlah hal kecil. Ini juga bukanlah hal pembebasan sebuah tanah. Hal Palestin adalah hal deen ISLAM itu sendiri. Yahudi bukan hendak merampas tanah semata-mata, bahkan mereka hendak melenyapkan ISLAM dari muka bumi kita. Mempertahankan Palestin hari ini, adalah mempertahankan ISLAM itu sendiri. Kami sanggup berkorban, kerana kami sedang mempertahankan ISLAM. Kami bukan nasionalis, kami adalah HAMBA ALLAH. ALLAH hanya redha pada ISLAM, bukan pada negara-negara yang kita duduki. ALLAH telah berfirman, “Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu deen kamu(ISLAM), dan aku sempurnakan untu kamu nikmatKu (ISLAM,) dan aku redha ISLAM itu menjadi deen kamu.”
Kamu tahu yang Masjidil Aqsa itu adalah tempat suci ummat ISLAM. Ia sama sahaja seperti Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Tetapi kenapa dua masjid itu kamu tatang seperti minyak yang penuh, sedangkan masjid suci di Palestin ini kamu biarkan? Bukankah masjid ini tempat Rasulullah diangkat ke langit untuk mikraj? Adakah kamu tidak berasa apa-apa apabila tembok tempat Rasulullah SAW menambat buraq dijadikan tembok ratapan oleh kaum Yahudi? Adakah kalian lupa firman ALLAH? “Maha Suci kepada yang mengisra’kan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Majidil Aqsa yang diberkati sekelilingnya dan ditumpahkan cahaya kepadanya dari ayat-ayat KAMI.”
Hati kalian telah dibius sebenarnya. Kalian hanya mampu bersuara tetapi tidak mampu bergerak. Tidak cukup dengan itu, kalian menggelar kami yang berjuang ini sebagai pengganas. Kamu tahukah apa makna semua ini? Ini menunjukkan ISLAM itu telah pudar dari penghayatan kalian. Kalian tidak bergerak membantu kami adalah tanda lemahnya hubungan kalian dengan ALLAH. Kalian lebih takut segala halangan yang direka oleh musuh-musuh ALLAH dari ALLAH itu sendiri. Adakah kalian lupa sabda Rasulullah SAW? “Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada mereka yang hendak menzaliminya.”
Bukankah ALLAH juga ada berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan RasulNya, dan janganlah sesekali kalian mengkhianati amanah kalian sedankan kalian mengetahuinya.”
Tapi apakah pengkhianatan yang berlaku hari ini? Apakah yang kalian hendak katakan kepada ALLAH pada hari kelak?
Adakah kalian sangka, Israel itu akan berhenti selepas menawan Palestin ini? Ketahuilah yang mereka itu akan bergerak menawan seluruh negara ISLAM yang lain. Mungkin aku telah tiada ketika itu. Tetapi aku tahu apa yang akan berlaku. Kamu tahu apa yang akan berlaku? Apa yang akan berlaku adalah apa yang telah berlaku kepada kami. Ketika itu baru kamu rasa, apa yang kami rasa hari ini. ALLAH telah berpesan, “Tidak akan sesekali redha yahudi dan tidak pula nasara sehingga kamu mengikuti jalan mereka.”
Tidak cukupkah penderitaan kami? Sehingga bila kamu semua hendak tidur memekakkan diri? Hari kamu akan tiba nanti andai kamu tidak bergerak lagi. Ketika itu baru kamu merasai apakah seronok digelar pengganas di bumi sendiri.
Kamu tahu, kalaulah Masjidil Aqsa itu boleh bersuara, aku yakin yang dia akan menjerit memarahi kalian yang sedang duduk bergoyang kaki, membiarkan aku dan seluruh penduduk Palestina ini menderita. Kamu tahu,kalaulah dinding-dinding rumah yang ada di Palestin ini boleh bersuara, pasti mereka akan melaknat kalian yang buat tidak endah dengan keadaan kami di sini. Kamu tahu, kalaulah batu-batu yang anak-anak kecil kami baling itu boleh bersuara, batu-batu itu pasti akan berteriak menghina kebaculan kalian.
Tidakkah kamu tahu bahawa,nanti bayi-bayi kami, anak-anak kami, isteri-isteri kami, ayah dan ibu kami, pejuang-pejuang kami yang telah gugur semuanya itu akan bangkit di hari akhirat, hari yang ALLAH telah janjikan untuk kita berkumpul di Padang Mahsyar bersama, mereka akan mempersoalkan kalian di hadapan ALLAH atas apa yang kalian lakukan kepada kami hari ini. Aku tahu apakah yang akan mereka katakan nanti. “Ya ALLAH, mereka saudara kami, tetapi mereka telah membiarkan kami.”
Apakah kamu menyangka ALLAH akan melepaskan kalian?
Hari itu kami akan bangkit dengan darah-darah kami sebagai bukti perjuangan dan penderitaan kami. Darah kami akan berbau harum seperti kasturi. Kerna kami syahid dalam mempertahankan deen ALLAH yang ALLAG redhai. Kalian tahu, yang mati syahid tidak akan dihisab oleh pertimbangan ALLAH. Kami akan terus masuk ke syurga. Tetapi apakah nasib kalian ketika hari itu? Kalian akan merangkak di Siratul Mustaqim kerana pemeriksaan yang sangat berat oleh ALLAH. Dosa kalian meninggalkan kami amat berat sebenarnya.
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung.”
Pasti kalian akan meminta dijadikan sebagai tanah ketika itu.
“ ...alangkah baiknya jika dahulu aku hanyalah tanah.”

Kamu tahu, aku dan semua sahabatku, juga semua mereka yang telah mati terkorban, terbunuh di sini, tidak memerlukan belasungkawa kalian. Yang kami perlukan adalah perubahan diri kalian. Kita saudara bukan? Kenapa kalian mesti membiarkan kami? Berubahlah untuk ALLAH, untuk diri kalian sendiri. Ketahuilah bahawa ISLAM itu satu. Palestin juga adalah tanah kamu. Kenapa kalian membiarkan kami? Buangkanlah wahn dalam hati kalian. Dunia ini hanya sementara. Akhirat jualah yang benar dan kekal abadi selama-lamanya. Bukankah ALLAH telah berpesan kepada kalian,
“ setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasan kamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka, dan dimasukkan pula ke dalam syurga, sungguh dia telah memperolehi kemenangan, kehidupan di dunia ini tiadalah lebih dari kesenangan yang memperdaya”
Kenapa kalian mesti takut dengan segala sekatan Israel dan kuncunya Amerika? Adakah kerana mereka memegang nyawa kalian? Adakah kerana mereka memegang harta kalian? Buanglah wahn, hilangkanlah cinta dunia dan takut mati kalian. ALLAH jugalah yang memegang nyawa kalian. ALLAH jugalah yang menjaga kalian. ALLAH jugalah yang berkuasa atas kalian. Bukankah ALLAH sering mengulang di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya ALLAH itu atas segala perkara.”
Aku ulang, hidup kita hanya sementara. Hanya sementara. Kenapa kalian sia-siakan akhirat yang selama-lamanya untuk dunia yang sementara ini. Apa yang kalian takutkan?
Janganlah kalian hanya menjadi buih, dijentik terus pecah. Rasulullah telah mengetahui akan datangnya zaman ini. Sabdanya, “kelak ummat-ummat lain akan menggerumuni kalian seperti orang-orang lapart menggerumuni hidangan.”
Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah ketika itu bilangan kamu sedikit ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu seperti buih di lautan. Kamu telah diserang penyakit wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahn itu ya Rasulullah?”
“Cinta dunia dan takut mati”
Aku dengar kalian mempunyai banyak tentera dan senjata yang hebat-hebat. Kalau seluruh negara ISLAM bersatu, Amerika juga bukan tandingan. Hendak menentang Hizbullah pun mereka tidak mampu, apalagi menentang kesatuan kalian. Kenapa kalian takut? Buangkanlah wahn. Bantulah kami. Bukankah di dalam Al-Quran yang kalian kita sama-sama membaca ada tertulis, “Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian (ketika mereka diserang) kerana ISLAM, kalian mestilah sudi menolong mereka.”
Ah...
Kereta kebal mereka telah mampir. Aku mesti bersiap sekarang. Kalian tahu, walaupun kami mati, kami akan masuk syurga. Kalian yang terus hidup akan ke mana? Kalian akan dipersoalkan atas apa yang berlaku pada kami hari ini. ALLAH bersama kami dan tidak bersama-sama musuh kami. Mati kami mati mulia, menang mereka menang hina. Kami jugalah yang menang sebenarnya.
ALLAH itu matlamat kami,
Rasul itu contoh ikutan dan pemimpin kami,
Al-quran itu perlembagaan kami,
Jihad itu adalah jalan kami,
Dan mati di jalan ALLAH itu, adalah cita-cita tertinggi kami.
Aku tinggalkan pesanan ini, moga pesanan ini tidak hancur dimusnahkan oleh kemusnahan yang berlaku di sini. Pesanan ini untuk kalian. Ya, kalian. Saudaraku, seaqidah denganku.
Semoga ALLAH mencampakkan kesedaran dalam hati kalian, semoga ALLAH membangkitkan raksasa yang tertidur akibat bius yang disuntik oleh musuh, semoga ALLAH membangkitkan kekuatan kita. Semoga ISLAM itu kembali tinggi seperti dahulu kala, atau mungkin lebih baik lagi.
Janganlah kalian takut, sesungguhnya ALLAH telah berjanji, “Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu.”
Ketahuilah, ALLAH tidak akan ubah nasib kita, melainkan kita berusaha. ALLAH mengingatkan kita dalam firmanNya, “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka.”
Salam dari sahabat dan saudara kalian, anak Palestina bumi berdarah, bumi perjuangan, bumi pengorbanan.
Selamatkanlah diri kalian dari api neraka. Sesungguhnya api neraka itu azabnya tidak terkira.
Assalamu’alaikum.
Anak Palestina, Fathi Abzinah.
- Saya dedikasikan cerpen ini untuk saudara-saudara saya yang sedang berjuang di Palestina. Harap usaha yang saya lakukan ini mengetuk hati-hati yang masih hidup dari kalangan muslimin yang lain. Hanya ini yang mampu saya lakukan. Ampunkanlah kelemahan saya wahai saudara-saudara saya di Gaza, Palestin. Saya hanya mampu berdoa, menangis, menulis, menyeru dan bersuara.
oleh Hilal Asyraf di blog http://langitillahi.blogspot.com/
Tuesday, December 30, 2008
Palestin Dan Orientalisma
Palestin Dan Orientalisma

“Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Andai tiada keupayaan, maka lakukan dengan lisannya. Andai tiada juga keupayaan, maka lakukan ia dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman” “ Muttafaq ‘alayh
Apabila kita berdepan dengan kemungkaran, dalam apa bentuk sekali pun, kita boleh bertindak dan memberikan reaksi dalam tiga bentuk. Sama ada kita bertindak mengecam dan mengutuk kemungkaran itu, bertindak mencegah, atau mengubah kemungkaran yang berlaku.
MENGECAM
Kaedah mengecam adalah kaedah yang paling mudah. Dunia tanpa sempadan hari ini memberikan banyak ruang kepada kita untuk menyalurkan kecaman, sebanyak mungkin. Kecaman tidak memerlukan banyak modal. Sama ada modal fikir, modal idea, modal dakwah, jauh sekali modal material yang menuntut pengorbanan.
Kecam tidak perlu kepada analisis. Melaporkan apa yang berlaku, dan mengharapkan massa memahaminya, tanpa sebarang analisis adalah apa yang saya maksudkan sebagai pendekatan mengecam. Kecaman mempunyai peranan yang tersendiri, iaitu untuk membangkitkan rasa memberontak dan menyatakan penentangan. Namun ia kurang bermanfaat bagi mereka yang mahu mengambilnya sebagai suatu kepedulian.
Mungkin inilah masalah yang membelenggu halaman-halaman web pro Palestin yang banyak kedapatan di internet. Anda akan bertemu dengan salinan berita yang di’cut and paste‘ tanpa membekalkan analisa dan statistik yang berguna. Ini harus menjadi satu titik muhasabah mengapa lambakan berita itu tidak memberikan impak yang diharapkan. Ia hanya sebuah kecaman.
Apatah lagi media Malaysia yang bulat-bulat menterjemahkan sahaja apa yang dilaporkan oleh New York Times, Reuters, CNN dan yang seangkatan dengannya.
MENCEGAH
Kita juga boleh memberikan reaksi dalam bentuk mencegah secara defensif. Berusaha untuk menyelamatkan diri dan mereka yang berada di dalam tanggungan kita daripada terjebak ke dalam kemungkaran itu.
Kaedah ini mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri. Menjauhkan diri dari anasir-anasir Zionis yang turut membabitkan pemboikotan produk mereka, adalah sebahagian daripada teknik mencegah. Ia boleh menyelamatkan diri, menghalang diri dari terlibat dan menyumbang kepada kekuatan musuh dan melepaskan diri dari kewajipan peribadi.
Akan tetapi ia tidak akan menghalau pergi kemungkaran berkenaan, apatah lagi pada kekuatan Zionis yang mencengkam bumi Palestin. Ia akan terus duduk di situ dan menelan mereka yang gagal mencegah diri. Pemboikotan mendatangkan kejemuan apabila tindakan kita tidak setanding dengan keupayaan Amerika Syarikat menyumbang jutaan Dollar sehari kepada regim Zionis.
Lama kelamaan perbuatan kita mencegah kemungkaran hanya sekadar dalam format menyelamatkan diri sendiri, akan menjadi seperti seorang yang melindungi anaknya di dalam kandang harimau. Setelah penat, akhirnya kita kalah dan mati dibaham harimau, semata-mata kerana PUNCA masalah dibiarkan berleluasa.
Saya tidak bermaksud untuk memperkecilkan tindakan boikot, tetapi apa yang ingin ditegaskan adalah pada memaksimakan bantahan melalui strategi-strategi yang pelbagai. Ia harus lebih dari sekadar protes dan boikot.
MENGUBAH
Akan tetapi, hadith di atas meletakkan kerangka bertindak yang paling optimum sebagai reaksi kita kepada kemungkaran. Baginda SAW menggunakan perkataan (falyughayyirhu) dengan maksud mengubah. Kemungkaran bukan hanya perlu dikecam dan kita tidak hanya dituntut untuk menyelamatkan diri, namun agenda berdepan dengan kemungkaran mestilah berpaksikan kepada maksud MENGUBAH. Itu standard yang ditetapkan oleh Baginda SAW terhadap isu ini.
Apabila kemungkaran itu mahu diubah, pendekatan kita mestilah tepat dengan sasaran perubahan. Ia memerlukan kepada analisa yang tepat, dan mensasarkan penentangan kepada punca sebenar permasalahan yang ingin diperkatakan.
Di sinilah saya cuba mengajak hadirin untuk melihat semula bentuk usaha perjuangan tentang Isu Palestin yang ada di dalam masyarakat hari ini.
KELOMPOK SASAR
Isu Palestin mencakupi dua kelompok terpenting iaitu kelompok MANGSA dan kelompok PUNCA.
Kelompok mangsa yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang menerima kesan langsung daripada kekejaman Zionis di bumi Palestin, iaitu penduduk Palestin yang terdiri daripada kaum Muslimin dan minoriti Kristian yang turut terkesan. Maka seruan untuk membela golongan ini, dilakukan dalam bentuk yang membangkit dan meniupkan semangat mereka untuk tidak mengaku kalah dan terus berusaha untuk keluar daripada belenggu kekejaman rejim Zionis.
Pendekatan mengecam dan mencegah jika dilakukan dengan baik, cukup memberikan impak untuk mengukuhkan barisan penentang, sama ada dari kalangan mangsa langsung, atau umat Islam sedunia yang turut menanggung kepedihan jenayah Zionis itu.
Manakala kelompok kedua adalah kelompok punca.
Pihak manakah sebenarnya yang menjadi punca kepada segala krisis yang membelenggu penduduk Palestin? Apakah rejim Zionis mampu bertindak sendirian berterusan menekan dan menindas? Kita semua tahu bahawa Zionis tidak mampu berdikari melainkan ada sokongan besar yang datang dari luar, tidak lain dan tidak bukan Amerika Syarikat.
“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami PERPANJANGKAN kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.” (Al-Israa’ 17: 6)
Keterangan al-Quran bahawa keupayaan Zionis untuk melakukan kerosakan kedua di muka bumi, datang dari sumber yang diperpanjangkan, seharusnya menjadikan kita amat sedar tentang implikasi sokongan luar yang diberikan kepada Zionis.
Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa Israel menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.
Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat tentang isu Palestin.
Penduduk Amerika Syarikat adalah PUNCA UTAMA kepada keupayaan rejim Zionis di Palestin. Merekalah yang membayar cukai pendapatan sebagai sumber kewangan negara, merekalah yang memilih anggota Kongress dan Senat, dan seterusnya merekalah yang menentukan siapakah bakal Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya, selaku pemain utama yang menentukan polisi luar Amerika Syarikat.
Oleh itu, segala usaha dilakukan untuk mengawal saluran maklumat kepada penduduk Amerika Syarikat, dan usaha ini dilakukan dengan teliti hasil kajian beberapa tangan pakar, iaitulah Orientalis yang berdiri di sebalik kabinet pemerintah Amerika Syarikat.
Orientalis inilah think tank yang mengajar media dan pemerintah, teknik-teknik memberikan impression kepada penduduk Amerika Syarikat tentang laporan isu Palestin dari semasa ke semasa.
Apabila reaksi kita terhadap kemungkaran ini diletakkan atas maksud MENGUBAH, maka perubahan itu tidak mungkin boleh berlaku, jika kita memprotes dengan bahasa yang tidak difahami oleh penduduk Amerika Syarikat. Bukan soal Bahasa Inggeris atau Arab, tetapi bahasa yang saya maksudkan di sini adalah pendekatan kita dalam menyuarakan bantahan.
Seandainya kita cuba mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat dengan bahasa yang menjadikan mereka sebagai musuh kita, setaraf dengan rejim Zionis itu sendiri, maka tindakan kita akan menjadi seperti menarik kucing di atas tikar. Makin kuat kucing ditarik, makin kuat kukunya mencengkam.
Mereka akan terus takut dengan suara kita yang memukul rata bahawa semua Yahudi dan Nasrani adalah musuh dan mereka harus diperangi. Akhirnya, mereka akan terus menyanggupkan diri membiarkan kerajaan menghabiskan duit negara sehingga lebih USD10 juta sehari demi untuk mengekang kebangkitan manusia Palestin, Arab dan Muslim yang dipaparkan sebagai ganas, barbarik dan sentiasa mencari peluang untuk mengancam mereka.
Penat lelah kita hanya berkeupayaan mengekalkan kemarahan umat Islam terhadap kezaliman rejim Zionis, tetapi jauh sekali untuk mempengaruhi dan mengubah pandangan penduduk Amerika Syarikat terhadap keadaan sebenar di Palestin. Hal ini terjadi kerana protes kita tersalah sasar.
Maka umat Islam perlu bangkit menyatakan bantahan, bukan hanya pada menyatakan kemarahan dan berdemonstrasi, tetapi turut mendedahkan strategi media Barat memanipulasi sebaran maklumat. Ia juga harus dikritik dengan tajam, dan kehebatan golongan Orientalis yang menjadi penasihat kerajaan dan media, mesti dipatahkan dengan keilmuan yang setanding.
Teknik yang digunakan oleh media Amerika Syarikat dalam melaporkan isu Palestin, mesti diteliti. Peranan golongan pemegang saham media Amerika Syarikat mesti dikenal pasti. Dan keupayaan mereka untuk menjayakan gagasan ini berakar umbi pada tradisi Orientalisma kerana Orientalisma adalah falsafah Barat mempersembahkan Timur.
“They cannot represent themselves, they must be represented” - Karl Marx, The Eighteenth Brumaire of Louis Bonaparte
“The East is a career” - Benjamin Disraeli, Tancred
Kita mesti buktikan kepada mereka bahawa kita TAHU apa yang mereka lakukan dan BAGAIMANA mereka melakukannya.
Kerana itulah, saya memilih tajuk Palestin dan Orientalisma, sebagai subjek yang dibentangkan di Darul Fuqaha pada 13 Mei 2007 untuk menyuluh hal ini. Perjuangan kita membantu Palestin hendaklah memanfaatkan usaha yang dilakukan oleh tokoh seperti Edward Said yang Kristian tetapi amat besar impaknya kepada polisi Amerika Syarikat terhadap Palestin. Perjuangan mendedah dan melaporkan kejahatan Zionis juga hendaklah mengambil manfaat dari contoh halaman web pro Palestin IFAMERICANSKNEW.ORG milik Yahudi di Amerika Syarikat yang pro Palestin (mereka digelar self-hated Jews!), dalam usaha mereka untuk mendedahkan konspirasi gergasi Barat membodohkan dunia, demi survival rejim Zionis.
Kita juga mesti mencari formula untuk memperkatakan tentang isu Palestin dalam bahasa global yang boleh mengajak mereka yang bukan mangsa dan bukan punca, untuk terbabit sama.
Golongan bukan Muslim di mana-mana, harus disedarkan dengan menggunakan pendekatan ini, bahawa isu Palestin bukan hanya isu Islam dan Arab, tetapi ia adalah isu kezaliman terhadap kemanusiaan yang terbesar, dalam sejarah kemanusiaan itu sendiri.
Konspirasi ini tidak boleh dijatuhkan dalam kerangka “Menjahilkan Diri Terhadap Musuh“. Jauh sekali retorik dan slogan semata-mata. Jauh sekali dari laporan media yang hanya berupaya melapor, tetapi tiada analisa yang boleh memberikan impak yang cukup untuk menangkis media Amerika Syarikat yang mainstream.
Kenali musuh untuk melemahkan mereka, jahilkan diri terhadap musuh untuk mensesiakan keletihan kita.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
12 Mei 2007
Palestin: Antara Ilusi Dan Realiti
Palestin: Antara Ilusi Dan Realiti

“Anta dah siap ke? Jom la ke kelas”, saya memanggil Munawwar untuk keluar bersama ke kelas.
Sebaik sahaja kami mahu melangkah keluar, pandangan kami terlekat ke kaca televisyen.
Pagi itu, Televisyen Israel (Yahudi) Channel 1 menyiarkan rancangan TV Pendidikan. Saya menonton suatu rancangan yang dirakam di sebuah nursery. Guru yang mengajar anak muridnya menyanyi dengan diiringi sebuah piano, menyanyikan lagu berikut:
“Makanan paling sedap daging orang Arab, minuman paling sedap darah orang Islam”
Ya, itulah yang saya baca pada subtitle rancangan tersebut.
Kanak-kanak semuda 3 dan 4 tahun, diajar menyanyikan lagu tersebut dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.
Demi Allah, suara cikgu dan kanak-kanak itu masih segar di dalam ingatan saya, dan jika saya pandai melukis, saya masih mampu melakarkan di mana cikgu dan piano itu berada, dan bagaimana kanak-kanak itu mendendangkan “nasyid” mereka. Walaupun sudah tepat 10 tahun peristiwa itu berlaku (1996).
Sesungguhnya gambar-gambar di ATAS adalah ’surat cinta’ kanak-kanak Yahudi yang menjalani proses pembelajaran yang sama. Mereka melakar ‘mesej cinta’ itu pada peluru dan bom yang bakal dihantar kepada penpal mereka di seberang sempadan. Dari balik tembok, anak-anak Yahudi ini mengucapkan “salam” kepada rakan Palestin dan Lebanon mereka, moga dipanjangkan usia, bukan di dunia, tapi di alam kematian yang hitam.
Para ulama yang menyokong tindakan suicide bomber kebanyakannya membezakan di antara situasi Palestin dengan situasi bukan Palestin. Adalah tidak harus sama sekali pendekatan suicide bombing dilakukan di kawasan awam seperti di kota New York, London atau Istanbul.
Tetapi Palestin berbeza. Ia adalah medan perang dan di tengah-tengah medan perang tidak ada orang awam. Sama ada kamu sebahagian tentera Islam, atau tentera musuh. Maka jika Yahudi di Palestin tidak mahu diri mereka, kaum perempuan mereka, atau anak-anak mereka terbunuh, mereka mesti keluar dari medan perang. Bagi umat Islam di Palestin, sama ada mereka mati diletupkan dari jauh, atau lebih baik mereka mati meletupkan diri untuk meletupkan musuh. Itu sifirnya. Mungkin kita setuju atau mungkin tidak. Tetapi kita sukar untuk berkata banyak kerana mereka di Palestin itulah sebenarnya yang menderita dan tahu pahit getirnya hidup di medan tempur.
Mungkin sukar untuk dibayangkan hakikat kanak-kanak Yahudi sebagai sebahagian tentera mereka. Tetapi saya tidak lupa kepada program televisyen yang saya tonton, bahawa setiap anak Yahudi memang dididik seawal usia buaian untuk membesar menjadi Yahudi sejati. Sama ada kamu mahu menjadi doktor, jurutera, arkitek atau ‘Ustaz Rabai’, kamu adalah tentera Yahudi yang wajib mempertahankan bumi ‘Israel’ dari anjing Arab dan Islam!
Itulah semangat yang disuntik ke jiwa setiap Yahudi di bumi Palestin.
Anak kita bagaimana?
Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.
Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.
Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?
Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.
Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.
Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Aqidah mereka yang mengelirukan, paderi mereka yang kuat makan duit, kebencian mereka terhadap orang-orang yang beriman dan sebagainya, semua keterangan teori al-Quran itu menepati realiti kaum Nasrani hari ini. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?
Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.
Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?
Berat untuk lidah kita mengungkapkannya, namun al-Nadawi turut sampai kepada kesimpulan yang sama. Umat Islam hari ini tidak seperti umat Islam yang digambarkan al-Quran. Kita ramai tetapi kita hanya sebuah ilusi, dan ilusi sentiasa dikalahkan oleh realiti!
Muslim ilusi berdepan dengan Kristian realiti.
Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.
Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.
Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.
Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.
Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya hanya disebabkan oleh kuatnya dendam kesumat kita terhadap sesiapa sahaja yang tidak mengiyakan apa yang YA di sisi kita, dan menidakkan apa yang TIDAK di sisi kita. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Kita cekap mencari kelemahan orang lain, dan kita begitu berselera menjadikannya sebagai hidang ‘kari daging busuk’ santapan harian.
Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.
Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa. Bukankah Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” [Al-Israa' 17: 7]
Ya, janji Allah itu benar. Kesudahan isu Palestin adalah kemenangan yang akan berpihak kepada umat Islam. Namun kemenangan itu adalah kemenangan bersyarat. Allah mensyaratkan bahawa gerombolan kemenangan kita yang bakal masuk ke bumi Palestin mestilah sebagaimana kumpulan umat Islam masuk buat pertama kalinya dulu. Renunglah ciri-ciri Rasulullah SAW dan sahabat. Renunglah ciri-ciri Umar dan tenteranya semasa masuk ke bumi Palestin dan ingatlah, selagi kita tidak masuk dengan cara kemasukan yang pertama, perjuangan kita hanya ilusi. Ilusi yang dengan mudah dapat dimusnahkan oleh sebuah realiti.
Ajarlah anak-anak kita siapa musuh mereka. Besarkanlah mereka agar menjadi mukmin sejati. Bersiap sedialah untuk menghantar anak-anak kita ke masa depan mereka yang jauh lebih mencabar. Ramai ibu bapa yang sudah berjaya menukar fitrah kanak-kanak itu sehingga mereka membesar sebagai Yahudi, Nasrani dan Majusi yang sejati. Sudahkah kita membesarkan anak-anak kita menjadi Mukmin yang realiti?
Keluarlah dari ilusi, dan jadilah Mukmin sejati. Kamu sedang disembelih oleh sebuah realiti.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 14 Ogos 2006
Ya-RAbb .. Hapuskan Israel !!!

HALUAN Mengutuk Sekeras-kerasnya Kekejaman Israel
Di kemaskini pada Selasa, 30/12/2008
Kenyataan Sekretariat HALUANPalestin
Sekretariat HALUANPalestin HALUAN Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang dilakukan oleh Israel membedil dan membunuh rakyat Palestin di Gaza. Serangan yang bermula semenjak Sabtu, 27 Disember telah mengorban banyak nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda. Tindakan Zionis Israel membedil Gaza dan melancarkan serangan yang membabi buta terhadap rakyat yang sedang memperjuangkan bumi dan kehormatan bangsa amat mendukacitakan dan di luar batas keperimanusiaan.
Sekretariat HALUANPalestin menyeru dengan segenap kekuatan menolak dan menentang tindakan keji dan kejam Israel, diskriminasi dan konspirasi yang dilakukan kepada penduduk Palestin, khususnya di Gaza.
Sekretariat HALUANPalestin menyeru:
1. Kepada segenap umat dan bangsa Arab dan Islam … mulai saat ini, bersegeralah membantu dan mendukung perjuangan warga Palestin, berkorban demi kesucian negeri Palestin; untuk melawan kebiadaban Zionis dan tindakan pembantaian yang kejam terhadap bangsa Palestin dengan jelas dan terang-terangan.
2. Kepada Persatuan Parlimen Arab dan Islam… harus bertanggungjawab terhadap peristiwa yang terjadi dan berdiri dalam satu barisan bersama umat dan membatalkan hal-hal yang berkaitan dengan kesepakatan perdamaian bersama musuh zionis.
3. Kepada pemerintah dan pemimpin Arab dan Islam.. hendaklah menunaikan tugas dan kewajibannya, seperti:
o Berdiri tegak bersama umat dalam menolak perilaku zalim dan kejam zionis, dan memberikan bantuan untuk para penduduk di Palestin.
o Memutus hubungan atau segala bentuk komunikasi langsung atau tidak langsung dengan zionis dan sekutunya.
o Menerapkan semangat kesepakatan dalam negara Islam dan bersegera bersatu untuk mempertahankan bumi Palestin.
o Memberikan bantuan segera kepada rakyat Palestin samada dari segi perubatan, kewangan, bekalan makanan, bantuan kemanusiaan dan ketenteraan dengan kadar segera.
Hendaknya Zionis teroris menyedari bahawa mereka tidak akan mampu membendung dan menghentikan semangat rakyat Palestin mempertahankan bumi mereka sedikitpun sebaliknya mereka akan mendapat kehinaan dan kehancuran.
Wahai warga Palestin yang terhormat…
Kami yakin bahawa kalian adalah tentera Allah yang sabar dalam berperang dan benar saat melakukan pertemuan, janganlah kalian gentar dan takut terhadap zionis dan sekutu-sekutunya kerana;
قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ بِأَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنْصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ
“Perangilah mereka, niscaya Allah akan menghancurkan mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman”. (At-taubah:14)
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). jika kamu menderita kesakitan, Maka Sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan”. (An-Nisa:104)
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, Maka Sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)” (Ali Imran:140)
وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”. (Yusuf:21)
Sekretariat HALUANPalestin
Anda boleh menyumbang kepada usaha Sekretariat HALUANPalestin untuk projek bantuan mangsa-mangsa kekejaman rejim Zionis di Palestin melalui
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun: 14-023-01-003429-2
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad
Saturday, December 06, 2008
Doktor Sakit Mental
Doktor Sakit Mental
Posted by Abu Saif in Mukmin Profesional on 12 2nd, 2008 | 14 responses
“These medical graduates, totalling about 60 cases a year, are unable to cope with their housemanship as they may have been pressured by their parents to take up medicine” - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican
Saya terkasima.
Menggaru kepala.
Laporan akhbar The Star bertarikh Sabtu, 30 November 2008, melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lima doktor mengalami gangguan mental yang signifikan pada setiap bulan.
Dalam banyak-banyak faktor yang boleh dikaji selidik, saya berasa agak canggung membaca analisa pihak Kementerian Kesihatan bahawa punca masalah mental para doktor ini, khususnya doktor junior yang sedang menempuh fasa internship (housemanship), adalah kerana lima atau enam tahun yang lalu, mereka mangsa paksaan. Dipaksa ibu bapa mengambil bidang perubatan, seterusnya menjadi doktor.
Seandainya benar paksaan ibu bapa itu yang menjadi alasannya, maka kesan paksaan itu adalah TEKANAN. Justeru tekananlah yang seharusnya diberi perhatian. Seandainya tekanan yang menjadi punca gangguan mental, maka kita harus bersifat terbuka untuk menerima kenyataan, bahawa tekanan muncul bukan hanya daripada satu sumber.
Jika lima orang doktor mengalami gangguan mental sebulan, tidakkah ini harus diambil sebagai satu amaran muhasabah yang serius ke atas persekitaran dan SISTEM yang membentuknya?
SOKONGAN EQ DAN SQ
Saya tidak pernah jemu untuk menegaskan tentang peri pentingnya nilai agama diberi penekanan kepada kehidupan pelajar perubatan ini. Di dalam bahasa dunia (bagi mendepani pemikiran skeptik terhadap Akhirat), agama sekurang-kurangnya mempunya dua fungsi besar yang mesti diberi perhatian.
Pertama, agama menjadi rujukan moral pelajar dan bakal doktor ini. Seorang doktor diberi amanah untuk menyentuh tubuh manusia lain termasuk anggota-anggota sulit mereka, berurusan dengan sihat sakit manusia yang membabitkan soal hidup dan mati. Kesungguhan seorang doktor untuk melakukan resusitasi ke atas pesakit, sangat berkait rapat dengan pandangan dan nilai yang dipegangnya sebagai rujukan moral dalam kehidupan. Semua itu diserahkan kepada para doktor kerana profesionalisma mereka sebagai pengamal perubatan. Namun apakah rujukan moral kepada profesionalisma itu?
Etika perubatan menjadi satu subjek besar yang dipelajari oleh pelajar perubatan dan seterusnya menjadi rujukan seharian mereka semasa bertugas kelak. Dari manakah munculnya etika itu? Di sinilah peraturan-peraturan agama yang menjadi asas pertimbangan fikiran dan tingkah laku manusia diperlukan. Bukan sekadar untuk memahami subjek, tetapi menjadi kepercayaan yang dipegang oleh pengamal perubatan dalam mengurus diri mereka.
Keduanya, agama berperanan sebagai sistem sokongan kepada kekuatan dan kematangan emosi serta spiritual pelajar perubatan. Juga kepada para doktor. Sudah cukup banyak kajian dibuat, untuk menegaskan betapa komitmen yang sihat kepada agama, sangat ketara dalam mencegah seseorang daripada terjerumus ke lembah krisis emosi. Tidak ada kekuatan sekuat dorongan spiritual untuk seseorang cekal mendepani apa sahaja cabaran hidup. Agama meluaskan pandangan hidup seorang manusia agar tidak disempitkan oleh cabaran-cabaran kehidupan yang datang dari semasa ke semasa.
Di dalam bahasa Islam, agama mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia, kepada keluasan Dunia dan Akhirat.
Agama memberikan asas yang kukuh untuk seseorang itu kekal optimis.
Agama memberikan asas yang teguh untuk seseorang itu konsisten melakukan kebaikan biar pun tidak beroleh insentif yang wajar menurut pertimbangan semasa.
Agama bukan sekadar ritual baca Yasin Khamis Malam Jumaat atau Tahlil Ahad Malam Isnin, yang ada kalanya dijadikan alasan bahawa ‘agama sudah diterima pakai’ dalam aktiviti pelajar. Malah agama juga bukan subjek isu politik yang memabukkan sesetengah pelajar yang hilang pertimbangan. Agama itu panduan manusia untuk hidup sebagai manusia. Agama mengajar tentang Rule of the Game, dan gangguan mental adalah salah satu simptom besar bahawa ada kecacatan yang berlaku kepada segi tiga pemain, permainan dan peraturan permainan ini.
RASIONAL TUGASAN
Bagaimana pula dengan rutin kerja mereka?
Artikel “A Positive Approach to Doctors-in-Training” tulisan PAULINE W. CHEN, M.D. (www.nytimes.com November 6, 2008) banyak memberikan saranan tentang usaha penambah baikan yang boleh dilakukan kepada suasana kerja dan kehidupan doktor pelatih. Saya menanti-nanti ulasan pihak Kementerian Kesihatan terhadap hal ini.
Malah, kita sedia maklum, pekerja di pelbagai sektor sudah menjadi kebiasaan mereka untuk hadir ke kursus-kursus motivasi berkaitan dengan sikap, pemikiran dan jati diri. Program-program seperti ini sangat dikenal pasti berfungsi untuk membantu peserta melakukan muhasabah, memperbaiki persepsi mereka terhadap kerjaya dan kehidupan, menyuntik semangat kerja berpasukan yang penting untuk kelangsungan kerjaya masing-masing dan seribu satu manfaat lain. Namun, pemerhatian saya jarang menemukan pembabitan para doktor di dalam program seperti ini kecuali atas inisiatif individu, jabatan tertentu secara kecil-kecilan, dengan tidak mewakili pengiktirafan sistem secara keseluruhan.
Saya juga sangat berminat untuk mengetahui hasil kajian terhadap aspek kehidupan sosial para doktor. Bagaimana mereka berkeluarga, bagaimana mereka mengendalikan soal suami isteri dan anak-anak, kadar perkahwinan, kadar tidak berkahwin, kadar penceraian, bagaimana doktor wanita mengendalikan kehamilan, kelahiran anak dan hal-hal domestik yang menjadi satu aspek penting dalam mengekalkan kehidupan yang seimbang lagi… rasional!
Bagaimana pula dengan insentif para doktor? Penggajian mereka, bayaran oncall, kelayakan pinjaman kewangan… semua ini juga perlu diambil kira.
TIDAK PERLU SAMPAI MENJADI DOKTOR
Saya bukan pelajar perubatan.
Saya juga bukan doktor.
Tetapi saya hidup bersama pelajar perubatan semenjak sedekad yang lalu, bergaul dengan mereka, berprogram dan berkursus dengan mereka, malah beristerikan seorang doktor. Segala cabaran yang dihadapi oleh seorang pelajar perubatan, dan seterusnya pengamal perubatan, sangat ketara dan bukan lagi menjadi suatu rahsia. Tidak perlu sampai menjadi doktor untuk mengetahui apa cabaran yang para doktor ini hadapi. ‘Ahli Kelab Suami Doktor’ pun boleh mengalami tempiasnya!
Ia adalah public secret.
Namun dalam masa yang sama, saya juga berpandangan bahawa pertambahan kes gangguan mental ini (jika ia suatu pertambahan) turut menerima kesan daripada lemahnya jati diri generasi muda hari ini yang tidak ampuh dengan kehidupan. Kelasakan dan daya survival hidup semakin terhakis oleh pelbagai faktor, mungkin antaranya disebabkan oleh kehidupan yang semakin selesa oleh masyarakat kita.
Akan tetapi, faktor itu adalah faktor manusia. Usaha untuk mengubahnya memerlukan kepada banyak pihak untuk duduk semeja, melakukan evaluasi terhadap pelbagai sudut kehidupan, terutamanya sistem pendidikan.
Walau bagaimana pun, alasan bahawa lima kes gangguan mental sebulan ini datang dari kesan paksaan ibu bapa ke atas mereka yang hakikatnya tidak berminat dengan bidang perubatan, saya agak sulit untuk menerimanya. Kecualilah jika saya percaya bahawa gangguan mental yang turut membabitkan penjawat awam dan swasta di pelbagai sektor hari ini, muka masam di kaunter, tengking menengking di talian bantuan dan segala krisis yang menjadi ‘budaya’ di dalam sektor perkhidmatan kita hari ini, adalah akibat paksaan ibu bapa mereka dulu yang mendesak anak-anak bersekolah tanpa minat dan rela hati.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Saturday, October 25, 2008
PERKARA YG KENA BUAT
SEPULUH CIRI KEPERIBADIAN MUSLIM YANG SOLEH

Muslim yang salih adalah gelaran yang tinggi bagi seorang muslim. Untuk menjadi muslim yang salih, seseorang perlu menghayati Islam sepenuhnya.
Ciri-ciri berikut harus dimiliki agar seseorang muslim dapat menjadi muslim yang salih:
1. ( سليم العقيدة ) Aqidah yang sejahtera
Seorang muslim yang salih ialah muslim yang memiliki aqidah, keyakinan dan hubungan yang kuat dengan Allah Subhanahuwataala. Kekuatan tauhid yang dimilikinya membebaskannya daripada syirik. Dia meninggalkan ilah-ilah selain daripada Allah Subhanahuwataala, seperti harta, wanita, pangkat, kedudukan dan sembahan-sembahan yang lain. Dia juga membebaskan dirinya daripada tunduk kepada isme-isme dan budaya-budaya yang menyesatkan. Juga daripada tahayul, kurafat dan ramalan-ramalan dukun yang merosakkan ‘aqidah kepada Allah Subhanahuwataala. Keyakinannya hanya kepada Allah Subhanahuwataala kerana semua urusan berada di tangan Allah Subhanahuwataala.
Banyak ayat di dalam Al Qur’an Al Karim melarang keras semua bentuk syirik. Semua manusia diperintahkan agar hanya beribadah kepada Allah Subhanahuwataala serta meninggalkan ilah-ilah yang lain.
Seorang muslim yang salih akan memelihara perasaan takut kepada Allah Subhanahuwataala. Dia rasa selalu diawasi oleh Allah Subhanahuwataala berdasarkan firmanNya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Qaf : 16)
Firman-Nya:
“...Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang kamu kerjakan.”
(Al Hadid : 4)
2. ( صالح العبادة ) Ibadah yang salih
Seorang muslim yang salih akan selalu berhati-hati dalam beribadah kepada Allah Subhanahuwataala. Niatnya ikhlas dan caranya betul mengikut syara’. Dia beribadah berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan meninggalkan amalan bid’ah atau yang berbau bid’ah.
Niat yang ikhlas dan amalan yang menepati syari’at Islam akan mendatangkan manfa’at untuk dirinya dan persekitaran. Dia akan dikumpulkan bersama para nabi dan syuhada’ di akhirat kelak.
3. ( متين الخلق ) Akhlak yang mantap
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah orang yang paling sempurna akhlaknya. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah contoh tauladan kita. Seorang muslim wajib mencontohi akhlak Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam mempunyai akhlak yang baik dan mantap terhadap kawan dan lawan. Beliau tidak sekali-kali bersikap zalim terhadap manusia.
Ibadah kita kepada Allah Subhanahuwataala mungkin akan sia-sia kiranya kita mempunyai akhlak yang buruk.
Justeru itu muslim yang salih, wajiblah baginya memiliki akhlak yang mulia.
4. ( قوي الجسم ) Tubuh badan yang kuat
Seorang muslim perlu memiliki tubuh badan yang kuat dan sihat kerana dia memikul tanggungjawab yang berat. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam menggalakkan muslim melakukan senaman dan menjaga pemakanan yang seimbang, baik lagi halal. Muslim yang aktif dalam hidupnya, samada dalam urusan da’wah atau mencari nafkah hidup, memerlukan tubuh badan yang sihat agar semua kerjanya dapat berjalan lancar.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam ada menyatakan bahawa muslim yang kuat lebih utama dam lebih dicintai Allah Subhanahuwataala daripada muslim yang lemah.
5. (مثقف الفكر ) Pemikiran yang terdidik dan matang
Muslim yang salih haruslah memperhatikan perkembangan akalnya. Akal perlu diasah dengan pengisian ilmu. Sahabat-sahabat Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam, seperti Saidina Ali, Saidina Omar Al Khattab dan Sayyidah A’isyah adalah orang-orang yang memiliki ilmu yang tinggi.
Medan da’wah sangat memerlukan penguasaan terhadap berbagai-bagai disiplin ilmu. Musuh-musuh Islam telah menyusup ke pelbagai bidang kehidupan melalui disiplin-disiplin ilmu yang mereka kuasai. Untuk melawan mereka, maka kita juga perlu menguasai berbagai-bagai disiplin ilmu. Di zaman yang mencabar kini, dalam berbagai-bagai bidang kehidupan, ketinggian pemikiran atau intelektual semakin diperlukan.
Begitu juga, tabi’at minat membaca perlu dimiliki oleh muslim yang salih.
6. ( منظم فى شؤونه) Teratur dalam urusan atau kerja
Muslim yang salih harus berkerja secara teratur hingga melahirkan hasil kerja yang berkualiti. Di samping penghasilan kerjanya baik, niat yang ikhlas sangat dituntut.
Muslim yang menghayati sifat ihsan akan melakukan kerja yang terbaik. Pekerjaan yang dilakukan secara membabi-buta dan tidak teratur, akan mengakibatkan kekecewaan dan kerugian. Jika berlaku sedemikian, kepercayaan orang lain terhadapnya mungkin hilang.
Apatah lagi kerja yang berkaitan dengan da’wah Islamiyyah, maka ia perlu dilakukan dengan teratur. Kerja da’wah yang berkualiti mempunyai pengaruh yang besar untuk mengeluarkan hasil yang juga berkualiti.
7. Menguasai diri sendiri
Muslim yang salih mampu menguasai diri sendiri. Beliau dapat bersabar sewaktu ditimpa kesusahan dan bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala sewaktu mendapat kegembiraan atau menerima nikmat daripada Allah Subhanahuwataala.
Beliau juga tenang sewaktu melaksanakan masuliyah da’wah yang mencabar, optimis dengan kejayaan da’wah dan pertolongan Allah Subhanahuwataala. Begitu juga, beliau takut hanya kepada Allah Subhanahuwataala dan mengharap hanya kepada Allah Subhanahuwataala.
8. ( حريس على وقته) Menjaga waktu dengan baik
Allah Subhanahuwataala telah mengingatkan kita betapa ruginya seseorang yang mensia-siakan waktunya. Akhirnya, dia akan menyesal dengan sesalan yang tidak berguna lagi.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam ada berpesan supaya kita jangan membuang masa atau melengah-lengahkan kerja. Sabda baginda:
“Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu pagi, dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu petang, dan pergunakanlah sihatmu sebelum kamu sakit dan pergunakanlah di waktu hidupmu sebelum kamu mati.”
(Riwayat Imam Bukhari)
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam juga pernah mengingatkan kita bahawa ramai manusia lalai terhadap dua nikmat yang sangat berharga iaitu kesihatan dan waktu yang terluang.
Muslim yang salih melihat waktu hidupnya sebagai satu tempoh yang sangat penting dan genting. Dia selalu bertanya pada dirinya, “Adakah waktu hidupku yang berlalu diisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat?”.
Imam Hasan Al Banna mengingatkan kepada kita bahawa “Waktu itu kehidupan”. Ini bermakna jika waktu itu tidak digunakan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan hidup.
Waktu kita sangat terbatas. Oleh itu waktu itu perlu digunakan dengan cara yang paling berkesan dan efisyen. Janganlah sampai kita gunakan waktu untuk perbuatan yang sia-sia, jauh sekali daripada melakukan ma’siat. Bukankah kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada?
9. ( قادر على الكسب ) Mampu untuk berkerja
Seorang muslim yang salih bersifat berdikari. Dia boleh berusaha sendiri untuk mencari nafkah bagi diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.
Muslim yang salih akan berusaha sedapat mungkin untuk mengelakkan diri daripada bergantung kepada orang lain. Jauh sekalilah pergantungan itu melebihi daripada pergantungan kepada Allah Subhanahuwataala.
Dalam soal-soal untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup (ma’isyah), muslim yang salih lebih suka untuk berdikari atau berusaha sendiri. Bagi da’i atau murabbi, kemampuan beruasaha sendiri dalam soal ma’isyah adalah penting. Sehingga dengan kemampuan maddi yang ada padanya, dia mampu pula untuk menghidupkan atau mengukuhkan da’wah Islamiyyah.
10. ( نافع للغير ) Bermanfaat terhadap orang lain
Islam diturunkan sebagai rahmatan lil ‘alamin. Seorang muslim yang salih harus menjadi rahmat bagi ‘alam. Dia membawa manfaat kepada diri sendiri, orang lain dan ‘alam sekitarnya dalam rangka menegakkan Islam.
Muslim yang salih harus membawa keberkatan. Kebaikannya sangat diperlukan orang lain, baik dari segi harta benda, tenaga mahu pun ilmu. Muslim yang sebegini akan boleh melahirkan ramai penyokong Islam, InsyaAllah.
Tuesday, October 21, 2008
Rumah Idaman Syurga Impian: Suami Teladan

Di petik dari laman web: http://www.kusza.edu.my/~hakim/Islam/ dan http://www.isnet.org/archive-milis/
Karya Asal: Mohd. Isa Selamat & Kasmuri SL. (1994). Rumah Idaman Syurga Impian Suami Teladan.
Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
BAB I
I. PERSIAPAN MENCAPAI KELUARGA BAHAGIA
Allah SWT Yang Maha Kuasa, dengan IradahNya diciptakan manusia dari satu jiwa, kemudian diciptakan pula pasangannya supaya bersemi ketenangan, kesenangan dan kedamaian. Allah SWT melimpahkan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya ke lubuk jiwa manusia dengan perasaan cinta serta melimpahkan rasa kasih sayang sebagai landasan kebahagiaan keluarga dalam sebuah rumahtangga.
Allah SWT berfirman (Surah Ar-Rum: ayat 21), yang bermaksud; "Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah SWT, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan. Sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia. Adalah tidak adil rasanya dunia ini, jika pilihan hanya dibolehkan untuk kaum lelaki.
A. Memilih pasangan hidup
Dalam kehidupan bermasyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah SWT dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan.
Dalam kehidupan bermasyarakat, sering kali kita dengar ungkapan; jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat qana'ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha.
Beberapa pendapat tentang jodoh:
Jodoh merupakan takdir semata, "Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti menerima jodohnya, baik ataupun buruk." Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud:
"Jodoh di tangan Tuhan,” maka ada kebenarannya.
Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar. Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu ialah sering kali menyalahkan Tuhan bila berlaku kegagalan. Sering kali kita dengar, "Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang." Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan perhubungan hambanya?
Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya. Jodoh merupakan takdir dan perlu mencari, "Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya." Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.
Wajib berikhtiar sesuai dengan ketentuan Allah SWT, "Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan."
Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti:
1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan berlangsung atas persetujuan anak.
2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.
3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.
4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.
Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.
Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak atau pun kedua orang tua. Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam. Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:
1. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga
2. Mencari nafkah yang jujur dan berhasil
3. Pasangan ideal dalam erti:
• bersikap baik terhadap isteri
• dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
• menerima kekurangan dan kelemahan isteri
• dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
• dapat menjaga kewibawa isteri
• dapat membimbing isteri ke jalan yang baik dan dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri
4. Bapa yang baik dana sayang kepada anak-anak
5. Pasangan yang baik lahir dan batin
B. Sikap lelaki dan wanita yang diredai Allah SWT
Islam menyuruh umatnya berkerjasama membina umat yang luhur. Cara yang paling utama Islam membina keluarga yang utuh. Oleh itu perkahwinan memang dituntut di dalam Islam kerana dari perkahwinan boleh melahirkan kebaikan-kebaikan dengan berlandaskan ajaran Islam.
C. Suami yang diingini wanita
Keseluruhannya, suami yang diingini oleh setiap wanita ialah lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.
D. Persediaan diri untuk berkahwin
1. Umur yang cukup dewasa. Kedewasaan bermaksud:
• .dewasa fizikal.
• .dewasa intelektual, bersifat objektif terhadap diri sendiri. .Ia mengakui kekurangannya,berkeinginan memeriksa motif tindakannya sendiri.
• .dewasa emosi, tahu mengawal diri ketika marah dan sebagainya.
• .dewasa sosial, mempunyai hubungan kekeluargaan yang harmoni, mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di mana ia berada.
• .dewasa moral, memahami hal orang lain dan selalu mempertimbangkan akibat
perbuatannya terhadap orang lain.
Ringkasnya, umur yang sebaiknya bagi lelaki ialah antara 25-30 tahun dan bagi wanita ialah antara 20-25 tahun. Penentuan umur ini sebenarnya banyak bergantung kepada iklim dan adat istiadat sesuatu tempat.
2. Bekal menyara hidup
3. Mempunyai pengetahuan berumahtangga
Pengetahuan berumahtangga dianggap mudah oleh lelaki sehingga ilmu-ilmu itu biasanya tidak dipelajari. Ini hanya disedari apabila telah berumahtangga. Di sanat ini barulah diketahui banyak masalah yang perlu dihadapi.
4. Sihat jasmani dan rohani
Perkahwinan adalah percampuran lahiriah dan batiniah lelaki dan perempuan. Oleh itu keadaan kesihatan jasmani dan rohani amat diperlukan.
E. Memilih isteri idaman
Ada beberapa faktor dalam memilih isteri:
1. Faktor keagamaan dan akhlak
2. Faktor kecantikan dan kekayaan
3. Faktor keturunan dan kesuburan
Sifat-sifat wanita yang mulia:
1. Wanita yang tidak suka menuntut perkara-perkara yang akan membebankan suaminya
2. Wanita yang tidak suka berhias untuk lelaki bukan muhrimnya
3. Wanita yang menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela
4. Wanita yang tidak meninggikan suara melebih suara suaminya
5. Tidak keluar rumah tanpa izin suaminya
6. Tidak membelanjakan harta suaminya tanpa izin suaminya
7. Menjalankan kewajipan terhadap ajaran agama
8. Tidak menuntut cerai atau talak
9. Tidak cepat cemburu pada sesuatu yang belum pasti
10. Berbuat baik dalam menjalinkan hubungan dengan keluarga suami
11. Tahan menderita ketika suami ditimpa musibah
Dulu Dan Kini…..

Kerja mmg kena jadi ibadah ..
Kini... aku rasa...
Kerja dapat ’detach’ kita dari Allah...
Andai ada wang, hidup senang lenang ….
Kini … aku rasa…
Walau ada wang hati tak tenang…
Bila kerja … banyak masa utk programme ...
Kini .. aku rasa ..
Walau kerja.. usrah pun susah nak join....
Dulu .. aku fikir..
Kerja utk dakwah ..
Kini.. aku rasa...
Nak ingat diri as daieyah pun susah ...
Kini aku kerja...
Kesian pada hati..
Kesian pada jiwa..
Lagi kesian pada iman....
Amat perlukan bantuan...
Monday, October 13, 2008
Bila berkrisis dengan Allah

" Katakanlah Allah itu Esa, Allah tempat pergantungan ....."
Tidak ingat Tuhan
Cari mahkluk buat pergantungan
Akhirnya... diri berkrisis dengan Tuhan
Sibuk dengan dunia
Lalai dalam solat, tidak dampingi Al- Quran
Jiwa selalu lara
Akhirnya... diri berkrisis dengan Tuhan
Asyik pentingkan penat badan
Tidak hirau kosong iman
Tazkiah sering dilupakan
Akhirnya... diri berkrisis dengan Tuhan
" Tubna illah.... waraja' na illah ... wanadim na a'la ma faal na..."
Ya Tuhan ....
Ampunkan daku.....


